Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Kehidupan pengacara dan pelakon popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, 29, tidak jauh berbeza dengan gadis lain.
Biarpun kini memegang status sebagai selebriti cukup dikenali dan ahli perniagaan bertaraf jutawan, Neelofa tidak pernah meletakkan batasan hidupnya bagi menjalani kehidupan seperti wanita muda lain.
Kehidupan zaman kanak-kanak dan remaja paling dirindui, terutama detik menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman di Pasir Mas, Kelantan.
Sambil ketawa, Neelofa mengakui:
"Dulu, masih kecil dan hanya tahu berseronok. Ketibaan Syawal menjadi momen paling dinantikan apabila dapat berkumpul seluruh keluarga.
"Saya datangnya daripada keluarga besar. Setiap kali raya, memang kecoh dan meriah apabila lebih kurang 50 ahli keluarga berkumpul di rumah nenek di Pasir Mas.
"Bagaimanapun, apabila menginjak dewasa, kehidupan sudah mula berubah. Ada antara adik-beradik dan sepupu sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan masing-masing, jadi masa bersama semakin berkurangan.
"Tetapi, kami sekeluarga tetap mengamalkan tradisi berkumpul dan meluangkan masa bersama selama beberapa hari pada hari raya."
Kata pelakon yang juga pengacara terkenal ini, biarpun dirinya seorang selebriti, ia tidak sesekali membataskan dirinya untuk meluangkan waktu berkualiti bersama ahli keluarga.
"Saya dan seluruh keluarga amat rapat dan kalau bertemu, pasti ada saja 'membawang' sesama sendiri. Bukan cerita orang lain, tetapi perihal diri sendiri menjadi bahan usikan.
"Kami memiliki kumpulan WhatsApp keluarga, dan selalunya perkembangan saya sudah diketahui melalui aplikasi terbabit. Jadi, apabila bertemu pada hari raya, kami lebih berseronok berkumpul dan 'membawang' sesama sendiri," katanya yang mesra disapa Lofa.
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH edisi Ke-29 itu berkata, kediaman neneknya menjadi tumpuan keluarga dan sanak-saudara pada Aidilfitri.
"Bab kena serbu sudah menjadi perkara biasa. Kediaman nenek sudah diketahui orang Kelantan, jadi ia mungkin senang dicari. Tidak pelik apabila ada juga peminat dari luar Kelantan datang untuk bertemu saya.
"Kebiasaannya, kami menyediakan khemah untuk sanak-saudara dan peminat yang datang beraya. Hari raya kedua dan ketiga pun rumah nenek masih penuh dengan tetamu.
"Saya hanya duduk di rumah apabila pulang berhari raya di Kelantan, malah ada ketikanya saya tidak keluar langsung. Saya lebih senang melayani tetamu daripada keluar rumah, jalan raya terlalu sesak," katanya.
Gadis kacukan Melayu-Pakistan-Arab itu berkata, dia meraikan Syawal bersama keluarga di negeri Cik Siti Wan Kembang, tahun ini.
"Tahun lalu saya beraya di Kuala Lumpur. Mungkin saya sudah biasa beraya bersama keluarga yang besar, jadi saya rasa sangat bosan. Tiada siapa yang beriya-iya mahu memasak pelbagai juadah seperti beraya di kampung.
"Untuk melepaskan kerinduan, saya menemani adik-beradik dan anak saudara bermain bunga api. Saya rasa, kemeriahan raya kurang terasa ketika itu.
"Kami sekeluarga tidak dapat pulang beraya di Pasir Mas kerana menemani bapa yang baru saja menjalani pembedahan. Tidak mengapalah saya menemani Mama.
"Bagaimanapun, tahun ini, saya pulang ke kampung selama lima hari, sebelum terbang ke Paris untuk menghadiri sebuah acara bersama Lancome," katanya.
Menurut Neelofa, malam raya adalah saat paling menyeronokkan buat dirinya dan keluarga.
"Kerja saya bersama adik-beradik dan sepupu setiap tahun adalah membungkus pek cenderamata untuk kanak-kanak yang datang beraya. Selalunya, kami sediakan snek dan makanan kesukaan kanak-kanak. Duit raya pun ada sekali.
"Saya jarang bantu memasak kerana tugasan berkenaan diambil Mama dan ibu saudara saya. Juadah wajib pagi raya pula tentulah nasi dagang bersama gulai ayam, ikan dan udang.
"Saya suka ayam kuzi juga. Hari raya masa untuk saya menikmati makanan, kadang kala sampai tiga kali makan," katanya yang pulang ke Kelantan sehari sebelum raya.
Muncul dengan drama Ti Amor Sweetheart 100 Hari pada Syawal ini, Neelofa berkata, dia terlalu merindui budaya menghantar kad ucapan selamat hari raya yang semakin dilupakan.
"Momen paling seronok menjelang Aidilfitri apabila masing-masing sibuk ke kedai buku untuk membeli kad hari raya. Saya akan senarai nama kawan-kawan untuk mengirimkan kad raya. Saya akan pastikan tiada nama yang tertinggal.
"Jika tidak mendapat balasan, saya terasa hati. Seronok betul dapat kumpul kad raya kawan-kawan yang diterima dari seluruh Malaysia.
"Dulu, saya bersungguh-sungguh pergi ke kedai buku, tampal setem dan poskan kad hari raya. Zaman itulah kenangan paling saya rindui.
"Sekarang, tiada lagi suasana sebegitu apabila segala-galanya di hujung jari. Kami masih berhubung, malah puasa tahun ini saya mengadakan 'reunion' kawan sekolah yang tidak ditemui berbelas-belas tahun.
"Saya mengundang mereka datang berbuka puasa di rumah saya. Seronok dapat mengimbau kenangan zaman sekolah," katanya yang banyak menghabiskan masa bersama keluarga, Ramadan lalu.
sumber:
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/06/438960/lofa-membawang-dengan-ahli-keluarga