Ambil iktibar insiden Nadiyah Shahab



Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mahu semua pihak, termasuk syarikat produksi mengambil iktibar daripada insiden pelakon kelahiran Singapura, Nadiyah Shahab dilarang memasuki negara kerana tiada permit kerja.

Zed atau nama penuhnya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, setiap negara mempunyai sistem perundangan masing-masing dan ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh mana-mana pihak.

"Apa yang berlaku kepada pelakon itu perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak, termasuk syarikat produksi. Negara kita ada undang-undang yang wajib dipatuhi. Semua pihak perlu peka dan membuka mata dalam menangani isu ini," katanya.

Isnin lalu, media melaporkan Nadiyah yang juga pelakon drama bersiri, Kelip Kelip Kota London dilarang memasuki negara ini selepas ditahan imigresen di Johor atas alasan tidak memiliki permit bekerja.

Ketika kejadian, Nadiyah ditemani tunangnya, Ben Ali. Ekoran kejadian itu, Nadiyah terpaksa kembali ke Singapura dan membiarkan tunangnya pulang sendiri ke Kuala Lumpur.



Pada masa sama, Zed bersyukur usaha SENIMAN untuk memastikan penggiat seni luar berdaftar sebagai ahli persatuan itu semakin membuahkan hasil.

Zed berkata, ketika ini hanya 10 peratus artis luar yang berdaftar sebagai ahli SENIMAN.

"Bukan sahaja permit, artis luar yang bekerja di sini juga perlu menjadi ahli SENIMAN. Saya tahu, masih ada yang belum jadi ahli meskipun sudah bertahun kerja di Malaysia.

"Perkara ini saya bangkitkan bukan untuk kepentingan peribadi. Apa yang penting, usaha SENIMAN membentangkan isu ini akhirnya mendapat perhatian agensi kerajaan.

"Kalau dulu ada yang memperlekeh kewibawaan SENIMAN, kononnya kami bercakap kosong, tetapi lihat perubahan sekarang," katanya.



sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/407505/ambil-iktibar-insiden-nadiyah-shahab