Anis Al Idrus: 'Biarlah berdua dulu'


Sering diaju pertanyaan mengenai cahaya mata, penyanyi, pelakon dan pengacara, Anis Al Idrus enggan mengambil perkara itu secara serius kerana tidak mahu dirinya tertekan.

Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 29, berkata, dia dan suaminya, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim atau Aiman menganggap, mereka masih dalam tempoh berbulan madu memandangkan usia perkahwinan baru menjangkau sembilan bulan.

"Usia perkahwinan kami masih muda, banyak lagi masa untuk kami memikirkan mengenai cahaya mata. Sama seperti pasangan lain, kami juga mahu memiliki anak. Kami tidak pernah merancang, sebaliknya menyerahkan semua urusan itu kepada Allah.

"Rezeki setiap manusia sudah ditentukan dan saya sentiasa positif. Mungkin Allah belum berikan kami rezeki anak kerana kami belum bersedia. Ada ketika kita seperti mahukan sesuatu, tetapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

"Saya hanya berserah, malah tidak pernah rasa tersinggung apabila ditanya mengenai perkara itu. Saya percaya, rezeki itu pasti tiba tepat pada masanya. Biarlah kami berdua dulu," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 7 Julai tahun lalu.

Anis berkata, dia bersyukur kerana keluarganya memahami, malah tidak pernah mendesak supaya mereka segera mempunyai cahaya mata.

"Baik keluarga saya mahupun mentua, mereka tidak pernah mendesak. Mereka tahu, semua itu kerja Allah. Lagipun, tiada apa yang kurang dalam hidup kami kerana suami sudah ada anak daripada perkahwinan terdahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anis yang pernah muncul dengan single pertama, Mengapa, dua tahun lalu kembali dengan lagu terbaru, Tak Guna.

Lagu ciptaan sepenuhnya Hafiz Hamidun itu, kata Anis, tidak mempunyai kaitan dengan pengalaman hidupnya yang pernah beberapa kali kecundang dalam alam percintaan sebelum menemui bahagia.

"Saya langsung tidak terbabit dalam penulisan lirik, mahupun memberi idea ketika pembikinan lagu itu. Saya hanya meminta Hafiz menghasilkan lagu rancak kerana mahu mencuba genre berbeza daripada single pertama," katanya.

Anis berharap, kemunculan Tak Guna akan menebus kekecewaannya selepas percubaan pertama gagal membuahkan hasil yang diharapkan.

"Saya menyanyi bukan untuk mengejar populariti. Jika ditakdirkan percubaan kedua ini masih gagal, saya tidak akan kecewa. Saya ikhlas menyanyi kerana itu adalah minat saya ," katanya.



sumber:https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/416943/biarlah-berdua-dulu