Che Ta: 'Salah sendiri, mengaku sajalah'



Pelakon, Rozita Che Wan atau Che Ta, menganggap isunya dengan Zaihani Mohd Zain yang memetik nama beliau dalam kontroversi 'paha melimpah' sudah pun selesai.

Che Ta berkata, beliau juga tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap pengkritik fesyen berkenaan.

Katanya, walaupun teguran secara terbuka itu agak tegas, ia dilakukan bagi menyedarkan mereka yang bersikap prejudis terhadap orang lain, serta tidak mudah menuding jari atas kesalahan sendiri.

"Hari itu, memang saya marah apabila nama saya dan pengurus saya pula disebut-sebut. Sudah salah sendiri, mengaku sajalah, tak perlu cari kambing hitam. Lagi pun, katanya dia sudah meminta maaf.

"Bukan itu saja, (dia) ajak pula pereka fesyen lain untuk memboikot saya dan artis di bawah pengurusan syarikat LOL. Bukankah tak manis bersikap tidak elok, apatah lagi secara terang-terangan begitu?


"Apa pun, saya sudah luahkan apa yang saya nak cakap. Lepas ini, tiada isu lagi. Kalau jumpa selepas ini pun saya akan sapa dia... Tiada masalah. Sebelum ini pun saya kerap jumpa dirinya dalam majlis fesyen," katanya.

Pelakon yang turut dikenali sebagai pengacara dan usahawan itu berkata demikian ketika hadir bersama pengurusnya, Afeeq, pada pertunjukan fesyen Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Terdahulu, menerusi akaun Instagram beliau, Che Ta, 45, meluahkan rasa kurang senang apabila Zaihani atau Kak Zai membuat tuduhan pengurusnya menjadi punca dan penyebar status yang dimuat naik di laman sosial peribadi pengkritik fesyen itu.

Menerusi paparan skrin itu juga, Zaihani meminta rakannya supaya tidak membenarkan pengurus Che Ta membuat pinjaman baju untuk artis di bawah pengurusan LOL Entertainment.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/415982/salah-sendiri-mengaku-sajalah#cxrecs_s