Didakwa curang, Ismail Izzani mohon maaf



Penyanyi Ismail Izzani, 18, mengakui terkesan dan tertekan dengan kecaman yang diterima ekoran pendedahan bekas kekasihnya, Sharifah Rose, di Twitter mengenai punca perpisahan mereka.

Akur ia berlaku kerana kesilapannya, penyanyi lagu Sabar itu berkata, dia turut berdepan situasi sukar dan sedih dengan apa yang dilalui, namun menerimanya sebagai proses pembelajaran dalam hidup.

Nama penyanyi remaja berkenaan hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu apabila Sharifah Rose memuat naik status di Twitter dengan mendakwa, penyanyi itu pernah curang sebanyak enam kali selama mereka berhubungan.

"Saya akur jika terus dikecam, malah terbuka dengan setiap komen yang diberi. Sebagai remaja, mungkin saya tidak bersedia untuk mempunyai hubungan. Tetapi, saya sudah belajar daripada pengalaman itu.

"Saya mohon maaf kerana membuat peminat sedih dan kecewa. Selepas perkara ini menjadi bualan netizen, saya dan Sharifah Rose ada berbincang. Kami juga sudah saling memohon maaf," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Luar Biasa itu turut mengakui, apa yang berlaku memberi kesan hingga membuatkan dirinya tertekan.

"Mujur ada ibu yang sentiasa memberi semangat. Memang pada mulanya dia juga marah dengan sikap saya, tetapi saya anggap ia sebagai sebahagian daripada pengalaman hidup.

"Apa yang buruk saya jadikan pengajaran. Buat masa ini, saya mahu meniti alam remaja saya seperti orang lain.

"Saya tidak mahu membiarkan diri hanyut dalam perkara yang saya belum bersedia. Saya akui sukar, terutama sebagai selebriti kerana setiap pergerakan saya akan diperhatikan," katanya.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/407396/didakwa-curang-ismail-izzani-mohon-maaf