Gimik perempuan kebaya merah menjadi



Strategi pemasaran filem Dukun dengan memuat naik video perempuan berkebaya merah, minggu lalu, dianggap berjaya apabila ia mencatat lebih 27 juta tontonan.
Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata mereka tidak menyangka promosi menerusi platform YouTube, seminggu sebelum tayangan filem terbabit, 'menjadi' hingga tular dan diperkatakan ramai.
"Kami sudah mengatur pelan pemasaran sejak awal dan ia dimulakan dengan klip berkenaan yang nyata membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai tujuan perkongsian video terbabit.
"Biarpun ada sesetengah pihak melihatnya sebagai 'bodoh' kerana disangka mahu menakut-nakutkan orang, selain kurang jelas tujuan asalnya, kami anggap promosi ini berjaya.
"Perempuan kebaya merah dalam klip itu ialah Diana Dahlan, iaitu dukun yang menjadi inti pati filem arahan Dain Said ini," katanya pada majlis pratonton filem terbabit di KLCC, petang tadi.
Terdahulu, Dukun yang menyaksikan lakonan Datin Seri Umie Aida sebagai Diana terperap hampir 12 tahun selepas didakwa mengangkat kisah benar kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku pada 1993.
Selain Umie, produksi berbajet RM2.8 juta yang menjalani penggambaran pada 2005 itu turut menampilkan Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat, Faizal Hussein, Sofi Jikan, Elyana dan Avaa Vaanja.
Antara lain, Dukun mengisahkan seorang ahli perniagaan, Datuk Jefri yang meminta khidmat Diana dalam usaha menjadikan dirinya kebal selain memajukan bisnesnya.
Sebelum ini, filem itu dikatakan berdepan masalah apabila didakwa menyelitkan aksi ganas, sarat babak khurafat dan menyentuh sensitiviti pihak tertentu hingga kononnya diharamkan tayangannya.
Mengulas isu itu, Najwa menegaskan, tidak timbul isu pengharaman selepas Lembaga Penapis Filem (LPF) sendiri mengesahkan sudah pun memberi kelulusan sejak Disember 2006.
"Saya tidak tahu apa yang membuatkan tayangannya ditangguhkan, tetapi dalam tempoh lima tahun saya mengambil alih Astro Shaw, saya nampak ia filem yang bagus dan perlu dikongsi bersama khalayak.
"Namun, disebabkan kualiti gambar dan visualnya perlu dinaik taraf, kami harus menjalankan proses berkenaan dan pada masa, syarikat ini turut mempunyai filem besar lain. Sudah tentu Dukun perlu ikut giliran. Bagi saya, Dukun kekal relevan walaupun sudah 12 tahun dihasilkan.
"Berkaitan isu kononnya ia ganas dan boleh menggugat akidah, bagi saya, penonton kita dalam bijak membuat pertimbangan. Banyak lagi anasir luar yang perlu dibimbangkan," ulasnya.
Dukun yang mendapat klasifikasi tontonan P13 bakal menemui penonton di 100 pawagam di seluruh negara dan Brunei bermula esok.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/wayang/2018/04/407740/gimik-perempuan-kebaya-merah-menjadi