Elyana sesat ke KLCC gara-gara Dukun



Penyanyi dan pelakon Elyana, 30, berdepan pengalaman pelik apabila tersesat jalan menuju ke lokasi pratonton filem terbaru lakonannya, Dukun di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), petang semalam.

Elyana atau nama penuhnya, Erneelya Elyana Emrizal berkata, dia tidak pernah melalui pengalaman seperti itu sebelum ini dan berasa pelik apabila ia berlaku.

"Selalunya apabila memandu ke sesebuah lokasi, saya dan suami, Khairul Hussin akan menggunakan aplikasi Waze untuk melancarkan pemanduan. Tetapi, aplikasi itu tidak menunjukkan arah yang betul dan tiba-tiba gagal berfungsi dengan baik.

"Hampir 20 minit, saya sesat dan bangunan KLCC juga tidak kelihatan. Ia agak pelik kerana sebelum itu, saya sudah nampak papan tanda ke lokasi situ.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku, malah sehingga ini ia masih menjadi tanda tanya," katanya.

Elyana bagaimanapun, enggan mengulas panjang apabila ditanya kemungkinan apa yang berlaku mempunyai kaitan dengan perkara mistik, terutama apabila Dukun mahu ditayangkan.

"Susah untuk saya jelaskan kerana saya tidak pasti apa sebenarnya berlaku. Mungkin juga kerana saya mengantuk, panik atau ada sebab lain.

"Tidak dinafikan, saya pernah melalui pengalaman mengenai perkara mistik dan saya tidak menolak kemungkinan itu. Tetapi, entahlah...," katanya.

Mengulas pembabitannya dalam Dukun, Elyana mengakui, dia hampir berputus asa menanti filem itu ditayangkan selepas 12 tahun terperap.

"Ketika berlakon filem itu, saya berusia 18 tahun. Bayangkan selepas 12 tahun, akhirnya Dukun menemui penonton. Apabila dimaklumkan ia dibenarkan untuk tayangan, perasaan saya bercampur-baur.

"Dalam takut dan gementar, saya sebenarnya teruja. Teringat bagaimana gigihnya saya membuat persediaan untuk menghayati watak Nadia yang mewarisi ilmu Diana Dahlan, karakter lakonan Datin Seri Umie Aida.

"Hampir sebulan saya berlatih dengan Umie Aida bagi mendapatkan gaya dan pergerakan sama seperti Diana," katanya.

Selain Elyana dan Umie Aida, Dukun arahan Dain Said itu turut dimantapkan dengan barisan pelakon hebat seperti Adlin Aman Ramli, Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan dan Faizal Hussein.



sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/407909/elyana-sesat-ke-klcc-gara-gara-dukun