Hubungan Ziana, Armin retak?


Status hubungan Ziana Zain dan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, terus mencetuskan tanda tanya, apatah lagi selepas mereka disahkan tidak lagi tinggal sebumbung sejak bekas ketua pramugara itu didakwa mencederakan anak mereka, Februari lalu.
Terbaru, dakwaan kononnya Ziana sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selasa lalu, menguatkan lagi spekulasi hubungan mereka makin retak.
Penyanyi Putus Terpaksa itu bagaimana tidak memberikan sebarang reaksi ketika dihubungi BH Online bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara terbabit.
Pengurusnya, Alin, yang juga adik Ziana, sebaliknya memohon agar penyanyi berkenaan diberikan masa dan ruang buat ketika ini.
"Berikan Ziana masa, lagipun ini kes mahkamah," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Pada prosiding di Mahkamah Majistret pagi tadi, peguam pemerhati yang dilantik Ziana, Luqman Mazlan, mengesahkan anak guamnya itu dan suami, tidak lagi tinggal sebumbung.
"Ziana dan suami sudah tidak lagi tinggal sebumbung. Saya adalah peguam yang dilantik Ziana bagi mengikuti semua perbicaraan kes itu.
"Saya dilantik pada Mac lalu dan setiap kali kes disebut atau bicara, saya akan mengikutinya, termasuk ketika Ziana dipanggil menjadi saksi," katanya.
Sementara itu, sumber memberitahu BH Online, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, memfailkan perceraian dengan suaminya di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selasa lalu.
Difahamkan, Ziana bertindak memfailkan perceraian selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik.
"Mengikut rekod, Ziana memang ada failkan perceraian pada 3 April lalu," kata sumber berkenaan.
Pada 8 Mac lalu, Armin, 53, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan rotan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam jam, pada 24 Februari lalu.
Ziana dan Armin mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/408620/hubungan-ziana-armin-retak#cxrecs_s