Keluarga terima apa saja keputusan Ziana - Anuar Zain



Meskipun tahu kemelut sebenar yang berlaku dalam rumah tangga kakaknya, Anuar Zain memilih untuk tidak campur tangan bagi mengelak salah tanggapan.

Anuar, 47, berkata bukan haknya untuk bersuara mengenai isu yang tercetus antara Ziana dan suami, Armin Zaharin Ahmad Zamri, namun sebagai anggota keluarga, mereka memberi sokongan penuh apa saja keputusan kakaknya.

"Sebenarnya, saya tidak boleh komen apa-apa kerana perkara ini sudah menjadi kes mahkamah. Saya takut prejudis.

"Tetapi, sebagai adik saya sentiasa menyokong kakak saya dan apa juga keputusan dia. Keluarga tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya dan keluarga menyokong apa saja keputusan yang dibuat Ziana, tetapi saya tetap hormat Armin sebagai abang ipar walau apa sekalipun yang berlaku selepas ini," katanya.

Anuar ditemui selepas selesai konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Tidak mahu menuding jari mencari salah siapa, sebaliknya sebagai insan terdekat dalam hidup Ziana, Anuar sentiasa memberi sokongan fizikal dan mental kepada kakaknya dalam menempuhi ujian itu.

Pada masa sama, Anuar turut menasihati netizen supaya tidak membuat sebarang andaian dan memberi komen negatif mengenai isu terbabit.

Anuar juga meminta kakaknya diberikan ruang untuk menyelesaikan isu rumah tangganya sendiri.

"Orang luar tidak tahu apa yang berlaku. Jadi, saya minta netizen di luar sana tidak komen apa-apa, takut nanti suatu hari perkara itu berbalik kepada diri.

"Jangan sesekali pandai-pandai komen sebab takut nanti terkena batang hidung sendiri.

"Doakan yang baik-baik untuk mereka berdua kerana apapun kesudahannya, kami sekeluarga terima. Alhamdulillah, kakak saya gembira sekarang dan keluarga sangat menyokong dia," katanya.

Kemelut rumah tangga penyanyi lagu Madah Berhelah itu mula diperkatakan selepas Armin didakwa awal Mac lalu atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka pada 25 Februari lalu.

Pasangan yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga itu juga dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung, malah Ziana dilaporkan sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam, awal April lalu.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/418523/keluarga-terima-apa-saja-keputusan-ziana-anuar-zain