Momen Perkahwinan ‘FAIRYTALE’ Dato’ Siti Nurhaliza Cipta Rekod, ditonton 6.3 JUTA RAKYAT MALAYSIA

SIDANG media yang berlangsung 17 Julai 2006 di The Zon on The Park, akhirnya menamatkan segala desas-desus yang menyelubungi perjalanan hidup penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Majlis perkahwinan ini mendapat perhatian ramai apabila mengumpulkan penonton 2.86 juta untuk upacara akad nikah manakala siaran langsung majlis persandingan, 6.307 juta tontonan seluruh negara.




TARIKH NIKAH  21 Ogos 2006

LOKASI NIKAH Masjid Wilayah Persekutuan

TARIKH BERSANDING  28 Ogos 2006

LOKASI RESEPSI  Dewan Pameran KL Convention Centre

MAJLIS PERSANDINGAN (KUALA LIPIS) 3 September 2006


Ceritakan konsep atau tema majlis perkahwinan Dato’ Siti?

Untuk upacara akad nikah ia lebih berkonsepkan kemelayuan dan diadakan di Masjid Wilayah. Bukan sahaja dihadiri kaum keluarga, kerabat Diraja malah VVIP seperti Menteri turut sama memeriahkan upacara akad nikah. Waktu itu juga agak mendebarkan saya kerana perkahwinan adalah momen yang penting dalam hidup. Selain itu saya bertunang selama sejam dan selepas itu barulah berlangsung upacara akad nikah. Dua acara dalam satu masa.

Saya masih ingat lagi, ramai rakan- rakan wartawan dan peminat baik dari Malaysia dan Indonesia membanjiri kawasan masjid hingga tidak terkawal keadaannya. Dan ia juga terhad kerana almaklumlah kawasan masjid, banyak peraturan yang perlu dipatuhi. Tetapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ia lebih berkonsepkan perkahwinan dalam taman dan saya pentingkan agar perkahwinan tersebut berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Majlis Resepsi Busana Nikah & Sanding: Radzuan Radziwil Gaun: Michael Ong Solekan & Dandanan (Nikah): Nurul Shukor Solekan & Dandanan (Bersanding): Mia Wang Hantaran: RM30,000.00> Mas Kahwin: RM22,222


Majlis persandingan di Kuala Lipis, Pahang

Antara kenangan manis yang tidak dapat Dato’ Siti lupakan sepanjang majlis pernikahan/perkahwinan?

Rasa tidak percaya pun ada, rasa macam bermimpi pun ada… hahaha. Dan antara yang paling istimewa, saya dapat meluangkan waktu bertemu peminat walaupun mereka hanya berpeluang melihat saya dari jauh di balkoni tingkat 3, KL Convention Centre. Mereka dapat melihat saya sebelum berlangsungnya majlis persandingan pada sebelah malamnya.

Mengikut perancangan awal, saya mahu menaiki kereta kuda mengelilingi kawasan sekitar KL Convention Centre tetapi tidak dapat dipenuhi kerana pihak berkuasa mengambil kira faktor trafik dan keselamatan. Selepas selesai upacara akad nikah dan tempoh antara tarikh persandingan itu saya hasilkan lagu Cahaya Cinta. Saya hasilkan melodi dan lirik, kemudian masuk ke studio untuk sesi rakaman. Dan ia ditujukan khas untuk majlis perkahwinan ini.


Bagaimana pula dengan persiapan perkahwinan, sudah lama membuat perancangan mungkin?

Tidak lama, hampir sebulan lebih sahaja selepas sidang media tarikh pengumuman dibuat, maka bermulalah semua kerja-kerja persiapan dan mesyuarat demi mesyuarat dilakukan. Kami sendiri tidak mahu menunggu lama kerana lebih lama makin banyak cabarannya. Kemudian kami putuskan untuk langsungkan majlis dalam bulan Ogos.

Antara pihak yang terlibat menjayakan majlis ini adalah Dato’ Shahreza sebagai perancang majlis, Michael Ong selaku pereka busana untuk upacara memotong kek, Nurul Shukor bertangunggjawab menyolek wajah saya untuk majlis akad nikah dan majlis di Kuala Lipis, manakala majlis persandingan ditatarias oleh jurusolek Indonesia, Mia. Persalinan busana pengantin untuk upacara akad nikah dan baju kebaya moden putih direka oleh Radzuan Radziwill. Manakala gaun putih yang saya gayakan ketika sesi bertemu peminat di balkoni adalah rekaan Khoon Hooi. Juga tajaan mahkota dan barang kemas daripada Rafflesia.


Seandainya diberi peluang untuk mengubah satu perkara dalam majlis perkahwinan Dato’ Siti, apakah perkara tersebut? 

Ikhas dari hati saya, sepanjang majlis perkahwinan itu semuanya yang terbaik dihasilkan. Saya gembira, bersyukur kerana semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Tambahan pula majlis persandingan disiarkan secara langsung, jadi perancangan teliti yang diadakan sebelum majlis berlangsung dengan baik. Cuma ralatnya, impian menaiki kereta kuda untuk bertemu peminat tidak dapat direalisasikan.


Pernah amalkan petua atau pantang larang orang-orang tua sebelum berkahwin?

Kata orang tidak elok kalau sering berjumpa tetapi berbeza dengan kami hari-hari berjumpa… (ketawa) untuk fitting baju, meeting dan sebagainya. Cuma daripada segi ritual orang lama, yang saya ikut adalah majlis berinai dan majlis khatam Al-Quran yang dianggap sebagai amalan wajib dalam keluarga.


Tips Dato’ Siti kekalkan perkahwinan hingga kini, jika boleh dikongsikan? 

Jadikan kejujuran, saling percaya dan menyokong antara suami dan isteri sebagai benteng. Fahami karakter pasangan dan insya-Allah sebarang masalah yang timbul kita dapat atasinya dengan baik.



sumber:
http://www.kepohkuat.com/gambar-momen-perkahwinan-fairytale-dato-siti-nurhaliza-cipta-rekod-ditonton-6-3-juta-rakyat-malaysia/












Sumber: Gempak Viral