Calon 'ikan bilis' hanya cari publisiti murahan - Rizalman

Tindakan calon 'ikan bilis' yang menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden UMNO disifatkan sekadar mahu mengejar publisiti murahan.



Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, berkata tindakan itu cuma satu bentuk strategi untuk mengangkat diri sendiri dan bukannya untuk kebaikan UMNO.

Beliau juga mengakui tidak tahu mengenai keputusan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagiannya iaitu Mohamed Iqbal Maricair untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

"Biasalah, apabila kalah nanti akan keluar parti. Selepas itu, media akan tumpu pada isu bekas calon Presiden UMNO keluar parti. Itu hanyalah strategi beliau. Nak cari makan supaya ada 'harga'.

"Lagipun, saya tidak tahu beliau bertanding. Tiba-tiba sahaja semua orang call (hubungi) saya," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta media cuma memberi liputan dan fokus terhadap tiga nama besar dalam UMNO yang bertanding sebagai calon Presiden parti itu, seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Ini kerana katanya, tiga individu itu lebih menarik perhatian pembaca kerana 'cerita' dan berita mereka lebih bernilai berbanding calon 'ikan bilis' lain.

"Pada pandangan saya, mereka (calon ikan bilis) nampak murahan bagi saya.

"Tetapi nak buat macam mana, dulu buat peraturan semasa UMNO kuat. Sekarang apabila UMNO sudah lemah, peraturan (pemilihan) sudah makan diri," katanya.

Dalam sejarah tujuh dekad penubuhan UMNO, jawatan presiden parti itu menerima pencalonan terbesar dengan tujuh individu menawarkan diri bagi bertanding pemilihan parti akhir bulan ini.

Selain Mohamed Iqbal yang dianggap calon 'ikan bilis', difahamkan calon lain adalah Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri, usahawan yang juga blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai 'Mat UMNO'.

Seorang lagi calon adalah Rosile Saat, yang juga Ketua Konvoi Motosikal Ride for World #QuranHour dan Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang serta Yang Dipertua Melayu Islam Bersatu Malaysia.



sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/439245/calon-ikan-bilis-hanya-cari-publisiti-murahan-rizalman#cxrecs_s