Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak lagi menjadi salah seorang daripada tiga pengarah syarikat yang memiliki restoran Raj’s Banana Leaf di Bangsar yang diarah tutup selepas tersebar video pekerjanya mencuci pinggan dengan menggunakan air lopak di tepi jalan.
Menurut kenyataan di Facebook restoran berkenaan, Raj’s Banana Leaf menjelaskan individu yang
dikatakan sebagai pemegang saham restoran berkenaan adalah “tidak benar dan salah”.
“Individu terbabit tiada kaitan dengan pemegang saham syarikat atau restoran kami,” katanya tanpa menyatakan siapakah individu itu.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui Datuk Lee Chong Wei pernah menjadi pengarah syarikat berkenaan namun meletak jawatan sebelum kejadian itu dan beliau tidak terlibat dalam apa jua operasi perniagaan di restoran terbabit.
Kenyataan penafian daripada pemilik restoran berkenaan.
Terdahulu, Chong Wei menafikan beliau adalah pemilik bersama restoran berkenaan seperti dilaporkan sebuah akhbar.
Bagaimanapun, dalam pencarian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia nama Chong Wei tercatat sebagai salah seorang daripada tiga pengarah syarikat yang memiliki restoran tersebut iaitu InterCompass Sdn Bhd.
Semalam, tular di media sosial dan WhatsApp memaparkan pekerja di restoran berkenaan mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan.
Terdahulu, DBKL mengambil tindakan apabila premis tersebut diarah tutup serta-merta di bawah UUK 28(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 berkuat kuasa hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/nasional/chong-wei-nafi-pemilik-bersama-restoran-raj-s-banana-leaf-1.840730
ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/restoran-raj-s-banana-leaf-tampil-mohon-maaf-1.840356
ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/nasional/raj-s-banana-leaf-tak-hanya-cuci-guna-air-lopak-tapi-1.840705
Sumber: Sinar Harian via otokgeligo