Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yakin Tengku Razaleigh Hamzah
adalah calon yang layak untuk mengepalai UMNO serta membawa parti keramat
Melayu itu untuk bangkit semula.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan,
Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata itu adalah hasrat akar umbi yang mahu melihat
perubahan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.
Katanya, veteran UMNO itu yang juga bekas
Menteri Kewangan, diyakini mampu untuk menggugat kepemimpinan Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus membantu parti itu untuk merampas tampuk
pemerintahan negara pada masa depan.
"Buat masa ini, kita melihat Tengku
Razaleigh adalah satu tokoh yang boleh diketengahkan untuk mengepalai UMNO.
"Saya merayu pada Tengku Razaleigh
untuk mempertimbangkan keputusan bertanding sebagai Presiden parti.
"Kita bukan menolak Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden, sebaliknya kita ucapkan terima kasih pada
beliau dan sesiapa saja yang bakal terpilih pada pemilihan kali ini, kita akan
menyokong sepenuhnya.
"Tetapi, hari ini perlunya satu
pengharapan kepada akar umbi untuk memilih individu yang lebih elok dan boleh
membawa wadah perjuangan UMNO untuk kembali bangkit menerajui kerajaan suatu
hari nanti," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon Exco
Pemuda UMNO Malaysia 2018-2021 di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 41 calon diperkenalkan
membabitkan empat bagi jawatan Majlis Tertinggi UMNO, seorang bagi Pengerusi
Tetap Pemuda UMNO, tiga untuk Ketua Pemuda UMNO dan dua untuk Naib Ketua Pemuda
UMNO.
Sementara itu, ditanya mengenai calon
Ketua Pembangkang di Parlimen bagi Barisan Nasional (BN), Mohd Razlan berkata,
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin paling sesuai mengisi posisi berkenaan
kerana karisma dan kekuatannya berhujah.
"Ketua Pembangkang tidak semestinya
duduk di kedudukan tertinggi dalam parti dan jika letak Khairy, baru (Ahli
Parlimen Pakatan Harapan) gerun.
"Malah, jika berganding pula dengan
Tengku Razaleigh, saya rasa Dr Mahathir pun akan gerun sebab buku bertemu
ruas," katanya.
sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/435036/hanya-ku-li-mampu-menyaingi-dr-mahathir