Rakyat Malaysia 'kejutkan' dunia - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenuhi jemputan ke beberapa negara, termasuk Turki, bermula esok bagi berkongsi kisah kejayaan Malaysia mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.



Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama lebih 60 tahun, sekali gus merampas tampuk pimpinan Kerajaan Persekutuan.

Ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ketua Umum PH itu berkata, ramai pemimpin dunia bertanya kepadanya bagaimana rakyat Malaysia berjaya mengundi untuk perubahan itu.

Katanya, perubahan politik di Malaysia, khususnya menerusi kuasa rakyat, telah mengejutkan dunia.

"Mereka kagum dengan Malaysia dan rakyatnya dan mahu mengetahui bagaimana kita melakukannya.

"Malah, saya sendiri baru pulang dari London selepas dijemput bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore.

"Saya akan pergi ke Turki esok untuk bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang juga rakan saya dan kemudian akan memenuhi undangan beberapa negara Asia serta Arab," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir ke rumah terbuka itu.

Anwar turut mengulangi sokongannya kepada kerajaan hari ini yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ramai rakan memintanya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil bagi membolehkannya untuk kembali aktif dalam arena politik negara.

"Saya beritahu mereka, apabila sampai waktunya, saya akan berbuat demikian.

"Selepas Dr Mahathir berasakan dia sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan sedia melepaskan kuasa, saya akan masuk.

"Ketika itu nanti, lokasi pertama saya akan buat kenduri sudah pastilah Permatang Pauh," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada hadirin atas sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan dirinya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Permatang Pauh turut menyumbang kepada kejayaan PH untuk mengekalkan kuasa di kawasan itu serta merampas kuasa di peringkat persekutuan.

"Permatang Pauh menjadi asas kepada permulaan perubahan dan akan sentiasa berada di dalam hati saya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat di sini atas sokongan anda sejak sekian lama," katanya.



sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/438779/rakyat-malaysia-kejutkan-dunia-anwar