Tolong tutup mulut, jangan cuba campur tangan - Annuar Musa

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, hari ini mengingatkan Lim Kit Siang supaya jangan mencampuri urusan beliau dan hal ehwal dalaman parti itu.



Beliau berkata, Kit Siang sekali lagi cuba mengaitkan namanya dalam penulisan blog Penasihat DAP itu, baru-baru ini.

Melalui penulisan itu, katanya, Kit Siang menyentuh secara langsung urusan dalaman UMNO, termasuk pemilihan parti pada akhir bulan ini dan pembabitan beliau sebagai calon jawatan Timbalan Presiden.

"Kepada LKS (Lim Kit Siang), saya ingin berkata: "Please keep your mouth shut and do not try to interfere with UMNO's internal affairs. (Tolong tutup mulut anda dan jangan cuba campur tangan hal ehwal dalaman UMNO.

"UMNO is not DAP. You are so used to putting your hand almost everywhere, but please confine yourself to your own expanded territory. (UMNO bukan DAP. Anda sering campur tangan di mana-mana, namun pastikan jangan melampaui batas)

"Cukuplah 'hidden hand' (tangan ghaib) kamu dan DAP," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Ketereh itu secara sinis turut mengucapkan tahniah dan meminta Kit Siang 'menikmati' detik berbulan madu DAP selepas segala perancangan parti terbabit berhasil, termasuk menjadi 'rakan terkuat' di semua negeri dan Pusat.

"Tahniah juga kerana membawa politik polarisasi kaum yang paling ketara sejak merdeka.

"Nasihat anda mungkin terus diperlukan untuk 'Malaysian Malaysia' anda tetapi tidak untuk urusan saya atau UMNO. Saya tahu anda ada banyak lagi agenda.

"Saya tahu anda juga sedang menikmati buah yang kini gugur ke riba anda tanpa anda perlu mengaitnya. Memadai dengan menjeling atau menepuk tangan, nescaya segalanya jatuh ke riba DAP dan anda. Itu hak anda.

"Kalau ada apa daripada anda untuk saya, kita bertemu dalam gelanggang di Parlimen nanti. Itu tempatnya," katanya.


SUMBER:
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/438721/tolong-tutup-mulut-jangan-cuba-campur-tangan-annuar-musa#cxrecs_s