Usah ambil mudah institusi raja

Institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan tidak boleh diambil mudah dan diperbuat sesuka hati kerana ia dinyatakan secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.




Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bertitah hal itu perlu diambil berat oleh semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakannya bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan buruk dan baiknya kepada negara.

"Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat beta sewajibnya, bukan sekadar diambil berat dari sudut simbol semata-mata. Ia adalah tanggungjawab amat besar apabila berlaku krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak memudaratkan rakyat dan negara.

"Pada hemat beta, penggubal perlembagaan negara suatu ketika dulu memberikan isyarat dalam perlembagaan secara tersurat, namun yang perlu lebih difahami adalah perkara tersirat.

"Itulah dia tata sopan dan susila diasuh nenek moyang kita supaya difahami dan diamalkan dengan berhati-hati," titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.

Memetik surah al-Hujarat ayat enam, Sultan Muhammad menitahkan rakyat untuk terus mengamalkan pendekatan 'tabayyun' atau meneliti setiap kebenaran tatkala menerima sebarang berita dalam usaha menepis suasana ketidakcelaruan.

Baginda bertitah, hal itu berdasarkan teladan kisah hidup dalam satu negara dan kerajaan sejak zaman dulu dan sirah ambiya kerana silap percaturan akhirnya mengundang kerugian kepada masyarakat, selain melenyapkan semua legasi yang dibina dalam sekelip mata.

"Ia mustahil mampu dibaiki lagi dalam masa yang singkat, malah barangkali tidak untuk selama-lamanya.

"Justeru, ingatlah bahawa masyarakat Melayu Islam khususnya akan hanya kekal jika bersendikan adat dan bertunjangkan syarak.

"Sempena menyambut kemuliaan lebaran ini, beta titahkan satu pesanan yang bermakna daripada raja kepada rakyat, selain buat negara yang dikasihi.

"Beta harapkan semoga dengan tarbiah madrasah Ramadan selama sebulan mampu menjadikan kita insan bertakwa dan kembali kepada fitrah, yang bakal melahirkan modal insan berkualiti tinggi serta berintegriti untuk memacu reformasi ke arah negara maju.

"Makmur dan mendapat pengampun Allah hendaknya," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulurkan salam kemaafan, selain menyuburkan budaya mengunjungi sesama insan bagi mengeratkan ikatan silaturahim.

"Semoga Aidilfitri kali ini memberi makna dan impak besar kepada kita dalam melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah," titah baginda.



sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/438023/usah-ambil-mudah-institusi-raja