Alif Satar buka rahsia awet muda Nassier Wahab

Penyanyi, Datuk Nassier Wahab mengamalkan surah Yusuf sebagai cara untuk menaikkan seri wajah, selain sentiasa kelihatan awet muda.


Perkara itu didedahkan anak saudaranya iaitu penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar menerusi muat naik foto mereka bersama di Instagram.

Dalam muat naik, Alif berkongsi foto yang diambil 20 tahun lalu ketika dia masih kecil bersama Nassier yang sedang bermain keyboard di kediaman lama keluarga penyanyi itu, selain gambar terbaru mereka berdua.

Alif berkata, amalan bacaan surah itu membuatkan bapa saudaranya itu sentiasa kelihatan segar dan bertenaga meskipun, usianya kini sudah mencecah usia 56 tahun.

"Nassier yang saya panggil uncle suka membaca surah Yusuf dan itu antara sebab mengapa dia masih kelihatan tampan seperti ketika zaman mudanya," tulis penyanyi yang sedang popular dengan lagu Sesungguhnya Aku itu.

Menerusi catatannya itu juga, Alif memaklumkan Nassier sebagai antara penyanyi idola yang sentiasa memberinya inspirasi untuk bertahan dalam industri muzik tempatan.

"Sudah tentu dia adalah antara hero muzik saya. Terima kasih uncle Nassier!" tulisnya lagi.

Nassier yang pernah popular dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta dan Bayangan Wajah Duka adalah antara penyanyi yang sentiasa mendapat perhatian ramai kerana dikurniakan wajah kacak dan tidak dimamah usia.

Selain menjalani rutin pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan, Nassier juga mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat untuk memastikan dirinya sentiasa bertenaga sebagai penghibur.


sumber
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/07/449651/alif-satar-buka-rahsia-awet-muda-nassier-wahab