'Jasa semua anjing ini sangat besar'

"Kumpulan anjing ini pernah menyelamatkan saya daripada diserang beruk, justeru jasa semua anjing ini sangat besar kepada saya dan keluarga," kata Ismail Tawang, 71, pemilik dusun durian di Kampung Lingai, Tepoh, ketika ditemui NSTP.


Ismail berkata, bukan sahaja beruk, tetapi banyak haiwan yang sebelum ini mengancam keselamatan dia dan isteri, Zalina Abas, 45, ketika menjalani aktiviti di dusun durian itu terlebih dahulu diserang kumpulan anjing berkenaan, sekali gus menyelamatkan mereka daripada serangan haiwan buas.

"Bagusnya membela anjing di dusun kerana haiwan ini akan memastikan keselamatan tuannya sepanjang berada di dusun, malah harta benda termasuk hasil tanaman seperti durian juga terjaga daripada dicuri atau dimakan haiwan perosak seperti babi dan beruk.

"Saya masih ingat detik cemas ketika diterkam beruk bertaring di dalam dusun. Mujur anjing ini terlebih dahulu menyerang beruk itu sehingga berlaku pergelutan yang menyebabkan beruk itu akhirnya mati," katanya.

Beliau berkata, mereka kagum dengan sifat semulajadi anjing yang setia, menyayangi tuan serta tidak pernah ingkar arahan dan tidak kisah tanggapan orang sekeliling kerana mereka menjaga haiwan itu mengikut garis panduan ditetapkan agama.


ZALINA memberi makan anjing peliharaannya di dusun durian di Kampung  Lingai, Tepoh. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Malah, lapan anjing itu diberi nama Lily, Mimi, Kurus, Merah, Panjang, Beja, Kancil dan Bobo sejak ia kecil dan melatih haiwan itu untuk melindungi kawasan dusun daripada diceroboh.

"Sebelum ini, durian sering dicuri pada waktu malam sehingga kami tidak berpeluang untuk menikmatinya. Jika sepohon pokok mempunyai 100 biji, hanya 20 biji yang kami bejaya kutip, selebihnya dicuri atau dimakan babi," katanya.

Sementara itu, Zalina berkata, mereka pernah kerugian lebih RM100,000 apabila durian bergred dan pelbagai peralatan kebun termasuk mesin air, gergaji rantai dan baja dicuri.

"Selepas membela lapan anjing, masalah kecurian tidak berlaku lagi. Kami pelihara anjing bukan untuk keseronokan seperti membela kucing, tetapi sebagai pengawal di dusun durian dan ladang kelapa sawit seluas 12 hektar," katanya yang tinggal di Kuala Ibai.

Beliau berkata, semua anjing itu manja dengannya tetapi ia tidak bermakna haiwan itu perlu dipeluk dan dibelai, tetapi cukup sekadar diberi makan dan merawatnya apabila ia sakit atau tercedera.

Sementara itu, Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah, Ahmad Ridhwan Radzi berkata, kegiatan memelihara anjing bagi tujuan menjaga harta benda termasuk dusun buah-buahan tidak dilarang dalam Islam dan dibolehkan kerana bersebab.

"Bagaimanapun, pemilik anjing itu perlu mengikuti adab tertentu seperti tidak terlalu terbuka bermain atau menyentuh anjing tanpa tujuan supaya ia tidak mengundang fitnah di kalangan masyarakat.

"Malah, batas pergaulan dengan haiwan itu juga perlu dihadkan dan bersebab, tidak dibolehkan pemilik dengan sengaja membelai haiwan itu seperti kucing kerana ia najis berat, melainkan untuk tujuan tertentu seperti memberi rawatan kepada anjing yang tercedera," katanya kepada NSTP.


sumber
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/07/451716/jasa-semua-anjing-ini-sangat-besar