Jenaka 'jangan lari' pesanan penting - Ahli Parlimen

Jenaka 'jangan lari' Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika memulakan titah ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke -14, pagi tadi, dianggap sebagai pesanan penting kepada semua Ahli Parlimen terutama pembangkang.


Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, meskipun tidak memahami sepenuhnya maksud sebenar jenaka baginda itu namun beliau percaya ia ada hubung kait dengan komitmen sebagai Ahli Parlimen.

"Saya tidak tahu maksud sebenar baginda, mungkin baginda maksudkan meminta Ahli Parlimen supaya jangan ponteng dan menghadiri sidang dewan.

"Itu yang saya fahamlah, yang lain tidak pasti," katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.

Bagi Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pula, jenaka baginda itu dianggap sebagai jenaka untuk menceriakan suasana.

"Saya tidak boleh menafsir maksud Tuanku namun saya anggap baginda hanya mahu menceriakan suasana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, jenaka Sultan Muhammad V itu membuktikan bahawa baginda mengikuti perkembangan politik semasa negara.

Katanya, meskipun mungkin mempunyai maksud di sebaliknya namun jenaka itu perlu dianggap sebagai gurauan seorang Raja kepada rakyatnya.

"Harap tiada pihak yang akan berkecil hati dengan jenaka baginda itu.

"Anggaplah ia sekadar gurauan untuk baginda mengeratkan kemesraan," katanya.



sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/450235/jenaka-jangan-lari-pesanan-penting-ahli-parlimen#cxrecs_s