Hilang lebih RM25,000 selepas halau kucing



Seorang peniaga wanita kerugian lebih RM25,000 selepas beg tangan berisi barangan kemas dan wang tunai dilarikan di rumahnya di Kampung Sempang, Merlimau di sini, semalam.

Wanita berusia 51 tahun yang juga pengusaha kantin itu hanya menyedari kehilangan beg tangannya kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata siasatan awal mendapati kali terakhir wanita itu memegang beg tangannya ketika pulang daripada makan pada malam kejadian, kira-kira jam 11.30 malam.

"Sejurus tiba di rumah, wanita itu yang melihat seekor kucing berada di beranda rumahnya, meninggalkan beg tangannya di atas kerusi dan menghalau haiwan berkenaan.

"Selepas menghalau kucing, dia terus masuk rumah dan terlupa untuk mengambil semula beg tangan yang diletak di atas kerusi di beranda rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beg itu mengandungi seutas rantai kaki, loket, cincin emas yang bernilai RM22,900 dan wang tunai RM3,040.

Arshad berkata, suspek dipercayai masuk ke beranda rumah mangsa dan mengambil beg berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.




sumber:  https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/04/413187/hilang-lebih-rm25000-selepas-halau-kucing#cxrecs_s