Itu bukan 'baby bump' - Fazura



Pelakon, Nur Fazura, menepis dakwaan beliau kini berbadan dua apabila sekeping foto yang dikatakan menampakkan perubahan pada bahagian perutnya ketika menghadiri sebuah acara pertunjukan fesyen, baru-baru ini, menjadi tular.
Menurut Fazura, 34 perubahan fizikal yang dilihat pada foto berkenaan disebabkan potongan dan material pakaian digayakan olehnya, bukannya 'baby bump' yang menandakan dirinya sedang hamil.
"Ia bukan 'baby bump', sebaliknya hanya biasan kain yang saya pakai. Mungkin rekaan dan material yang digunakan menampakkan seolah-olah saya sedang hamil.
"Untuk gambaran lebih jelas, boleh lihat sendiri video yang dimuat naik di akaun Instagram kelab peminat saya, @fazbulouswarriors," ujar Fazura kepada BH Online.
Gambar yang dimuat naik oleh aktres berkenaan, dua hari lalu, mendapat komen positif pengikut dan netizen, yang rata-rata gembira dengan perkembangan terbarunya itu.
Kata pelakon J Revolusi itu lagi, beliau juga takkan berahsia mengenai kehamilan kerana baginya, perkara yang baik harus dikongsi bersama.
"Apa pun, saya bersyukur di atas doa anda semua. Insya-Allah, jika ada khabar gembira, pasti akan saya kongsi pada masa paling sesuai," katanya yang berada di Jakarta, Indonesia, atas urusan kerja ketika dihubungi BH Online.
Sebelum ini, isteri kepada pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0, Fattah Amin, ini juga pernah dikatakan mengandung apabila mengatakan beliau mengidam selepas ditegur makan dalam kuantiti yang banyak, seperti dipaparkan dalam sebuah rakaman video.
Penyanyi Bisa Apa ini bagaimanapun menafikan perkara itu sambil menjelaskan, beliau sekadar bergurau apabila menggunakan perkataan 'mengidam'.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November tahun lalu selepas dipertemukan dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/413438/itu-bukan-baby-bump-fazura