Terserah kepada mahkamah untuk memutuskan pertikaian antara
kerajaan negeri Sarawak dan PETRONAS berhubung pengisytiharan Akta Pembangunan
Petroleum 1974 (PDA), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ia terserah kepada PETRONAS, sama
ada boleh berjaya atau tidak dengan tindakan mahkamah diambil mereka,"
katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pada masa sama,
kerajaan hari ini tetap menghormati perjanjian penurunan kuasa yang dibuat
antara kerajaan terdahulu dengan kerajaan negeri Sarawak.
"Kita akan hormati, apa yang sudah
dipersetujui. Tetapi PETRONAS dakwa PDA itu memberi mereka kuasa tertentu, yang
mana kerajaan negeri Sarawak turut membuat tuntutan sama, jadi kita serahkan
kepada mahkamah untuk putuskan," katanya.
PETRONAS dalam kenyataan memberitahu yang
mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan Isnin lalu untuk
mendapatkan pengisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai
undang-undang terpakai bagi industri petroleum di negara ini termasuk Sarawak.
Syarikat itu percaya keputusan dibuat
Mahkamah Persekutuan nanti akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan
kedudukannya mengikut PDA.
Sementara itu Menteri Muda Undang-undang,
Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah
Sayeed Aman Ghazali, dalam kenyataan balas, berkata kerajaan Sarawak akan
menggunakan semua saluran yang ada dalam undang-undang negara untuk
mempertahankan haknya terhadap sumber petroleum di negeri itu,
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di
akaun Facebooknya, Hasidah mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Besar Sarawak telah
menerima notis hari ini daripada pendaftaran Mahkamah Persekutuan berhubung
tuntutan yang dibawa oleh PETRONAS.
"Permohonan kebenaran bagi merayu
akan dibuat mengikut Artikel 4(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana akan
didengar pada 12 Jun di Putrajaya.
"Buat masa ini, kerajaan negeri masih
belum menerima usul yang difailkan oleh Petronas berkaitan dengan permohonan
itu.
"Kerajaan negeri akan melakukan
segalanya dalam bidang kuasanya, mengikut undang-undang, untuk mempertahankan
hak kami dalam perkara ini," katanya.
SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/434860/biar-mahkamah-putuskan-tun-m