"Jangan Buat Keputusan Semata-Mata Kerana Dendam Kesumat", - Najib Razak

ada sidang media rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah membuat pengumuman dalam satu sidang media yang menyatakan beberapa agenda termasuk pembatalan projek-projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura.



Tindakan ini mendapat perhatian dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi satu kenyataan di facebook rasminya yang berkata, projek berkenaan bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja, sebaliknya selepas melalui kajian terperinci terhadap manfaatnya.

Berikut merupakan kenyataan-kenyataan yang didedahkkan oleh Najib susulan pengumuman yang dibuat kerajaan baru terhadap beberapa projek mega di bawah beliau:


HSR: Kerajaan digesa bersikap telus dalam keputusan untuk membatalkan projek tersebut.


1. Projek keretapi laju HSR Singapura – Kuala Lumpur bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja. Keputusan untuk projek ini dibuat berdasarkan kepada kajian terperinci terhadap manfaat dari kos yang dibuat oleh kedua-dua pihak bertahun lamanya yang turut membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi kedua-dua negara.

2. Projek ini mempunyai potensi untuk membentuk masa depan dan bagaimana kita dapat bekerjasama bagi faedah bersama. Kajian turut menunjukkan Malaysia adalah penerima manfaat utama bagi projek ini memandangkan majoriti landasan adalah di negara ini. Menggabungkan secara integrasi dua bandar utama dan ekonomi di Asia Tenggara akan menghasilkan manfaat yang besar yang melangkaui jualan tiket dan kos bagi infrastruktur itu.

3. Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi dan visi kita untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan gaya serta taraf hidup lebih baik untuk semua rakyat.

Ia juga akan mewujudkan satu pusat pertumbuhan baharu dan memberi nafas baharu kepada bandar seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka dan Seremban di mana manfaat berganda daripada projek ini adalah sangat besar.

4. Pada ketika kita memahami bahawa ia adalah prerogatif kerajaan baharu Pakatan untuk membatalkan projek ini, saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkan projek ini dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat apa-apa keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Saya turut merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi pencerahan bagaimana keputusan dibuat kerajaan BN terdahulu bersama kerajaan Singapura bagi projek ini.

5. Pertama, kerajaan baharu mendakwa kos projek ini adalah RM110 bilion. Jawatankuasa bersama Malaysia – Singapura, sehingga awal tahun ini telah mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion, termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini.

6. Kos sebenar hanya diketahui apabila tender sepenuhnya bagi merekabentuk, membina, pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua stok guling (rolling stock) dan aset keretapi HSR, yang dijangka ditutup sepenuhnya pada 28 Disember, 2018.

7. Sehubungan dengan itu, kerajaan seharusnya memberitahu kita bagaimana mereka memperolehi angka RM110 bilion? Adakah angka ini juga dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi ‘hutang negara?’

8. Saya juga terkejut dengan kenyataan Tun Mahathir yang menyatakan bahawa Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.

9. Realitinya, projek infrastruktur seperti HSR ini, membawa pulangan dan manfaat dalam bentuk kenaikan nilai hartanah, kepesatan ekonomi setempat, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan pendapatan tinggi, kemasukan tenaga pakar ke dalam negara dari Singapura serta pelancongan.

10. Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir apakah projek-projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja? Sudah tentu tidak.

11. Projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi. Kerajaan akan meraih pendapatan daripada cukai yang diperoleh daripada ekonomi yang lebih rancak. Manakala, rakyat pula mendapat kemudahan dan peluang pekerjaan kerana dapat berhubung dengan mudah.

12. Rasional yang sama digunakan dalam pembinaan HSR ini. Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, laluan penerbangan Kuala Lumpur Malaysia adalah yang tersibuk di dunia. Terdapat permintaan yang luar biasa terhadap perjalanan Kuala Lumpur-Singapura ini. Kerana itulah HSR ini sebenarnya sangat menguntungkan negara.

13. Saya juga ingin bertanya adakah agensi terlibat dengan projek ini sudah diberi ruang untuk membentangkan kes mereka kepada kabinet dan Majlis Penasihat Kerajaan? Adakah kajian impak ekonomi dan penilaian impak alam sekitar sudah dibentangkan dan dipertimbangkan? Bolehkah kajian ini kini didedahkan kepada umum?

Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI sehingga 2069. Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069. Untuk lebih telus, laporan ini seharusnya ditunjukkan kepada orang awam sebagaimana dilakukan kerajaan BN sebelum ini ketika laporan dipamerkan kepada orang ramai untuk maklum balas.

14. Adakah pembatalan ini adalah keputusan seorang sahaja? Saya difahamkan Menteri Pengangkutan baharu telah membuat kenyataan bahawa projek HSR ini tidak pernah dibincangkan dalam kabinet manakala Menteri Kewangan baharu enggan memberi ulasan tentang pembatalan projek HSR ini.

15. Projek HSR ini adalah projek jangka panjang dengan pelaburannya akan dapat diperolehi kembali pada dekad mendatang, dari pertumbuhan trafik selain kesan limpahan manfaat ekonomi berkaitan projek ini.

16. Impak ekonomi dari projek HSR ini juga turut mengambil kira analisa kewangan dan laporan Bank Dunia bagi unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini dan beberapa tahun akan datang.

17. Dengan pembatalan projek ini, prospek pertumbuhan KDNK Malaysia akan menyusut dan pertumbuhan peluang pekerjaan akan terencat? Kerajaan baharu perlu mengambil kira faktor ini dan mempunyai langkah pilihan bagi mengisi jurang kekurangan ini.

18. Zaman kini sudah berubah dan ekonomi hari ini lebih sofistikated dari dulu dan adalah mengecewakan jika Perdana Menteri gagal melihat pulangan projek ini sebagai pemangkin ekonomi seperti HSR ini di luar skop hasil jualan tiket sahaja. Jangan membuat keputusan semata-mata kerana dendam kesumat terhadap individu ataupun Kerajaan Barisan Nasional. Keputusan yang dikaburi emosi hanya akan merugikan rakyat.



sumber:
http://www.ohmedia.my/2018/06/jangan-buat-keputusan-semata-mata.html