'Jangan sampai BN terkubur tanpa nisan'

Pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) perlu membincangkan hala tuju parti itu secepat mungkin atau berdepan berkemungkinan 'terkubur tanpa nisan'.




Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata lebih banyak parti komponen akan meninggalkan BN jika tiada perancangan strategik dan nakhoda baharu ditonjolkan dalam masa terdekat.

Katanya, Dewan Tertinggi BN perlu bermesyuarat secepat mungkin dan membincangkan segala aspek, termasuk kemungkinan parti itu dibubarkan atau digantikan dengan kerjasama baharu.

"BN tidak memiliki DNA sebagai pembangkang dan tidak pernah kehilangan kuasa selepas lebih 60 tahun menjadi kerajaan, maka ini punca mereka kucar-kacir ketika ini.

"Disebabkan itu, hala tuju dan pimpinan baharu perlu diterjemahkan secepat mungkin atau lebih banyak parti komponen akan meninggalkan BN kerana sudah hilang pucuk pimpinan.

"Segala aspek perlu dibincangkan, khususnya bagaimana BN dan UMNO sebagai tunjang dipulihkan seperti zaman kegemilangan, serta sama ada parti itu tercicir daripada memperjuangkan hasrat sebenar rakyat," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, yang mendesak pucuk pimpinan BN membubarkan parti itu kerana tidak lagi relevan dan selari dengan semangat Perikatan yang dipelopori UMNO, MCA dan MIC.

Selasa lalu, empat parti komponen di Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meninggalkan BN bagi mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dengan pengunduran itu, BN kini hanya mempunyai empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN, manakala MyPPP belum diketahui statusnya berikutan masalah dalaman parti itu.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, masa depan BN, sama ada bubar atau sebaliknya, terletak di tangan setiap pemimpin parti komponen yang masih kekal dengan parti itu ketika ini.

Katanya, BN boleh terus wujud walaupun jika hanya ada dua parti yang masih sanggup meneruskan muafakat dan kerjasama ketika ini.

"Saya mencadangkan kesepakatan dan permuafakatan ini perlu diteruskan dengan usaha pemulihan dan pembaharuan mutlak membabitkan semua sudut, termasuk jenama, struktur dan pendekatan yang perlu diputuskan segera.

"Bahkan, keahlian langsung juga perlu dibuat tanpa perlu menjadi ahli parti komponen terlebih dulu.

"BN akan terkubur sekiranya kita gagal membuat perkara ini," katanya.


sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/437960/jangan-sampai-bn-terkubur-tanpa-nisan#cxrecs_s