Usaha sama itu bagi membekalkan komponen Body-in-White (BIW) untuk dua model pertama kenderaan VINFAST - sedan dan Kenderaan Utiliti Sukan yang akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun depan.
"Projek ini menjadi batu loncatan kepada AAPICO untuk memasuki Vietnam dan kami yakin ini hanya langkah pertama kepada yang lebih baik pada masa depan untuk kedua-dua syarikat," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AAPICO Hitech, Yeap Swee Chuan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, projek itu adalah satu pencapaian bersejarah kepada Vietnam apabila dua model pertama kenderaan akan dilancarkan pada 2019.
AAPICO adalah antara pengeluar komponen automotif yang utama di Thailand dengan permodalan pasaran sebanyak AS$400 juta.
Jumlah pelaburan bagi usaha sama itu adalah sebanyak AS$60 juta dengan AAPICO dan VINFAST, masing-masing memegang 51 peratus dan 49 peratus, manakala kilang pengeluaran akan dibina di kawasan seluas 9.1 hektar di Supplier Park di Haiphong.
Usaha sama antara AAPICO dan VINFAST bukan sahaja menjadi projek terbesar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat milik rakyat Malaysia itu dari segi skala tetapi pelaburan kedua terbesar di luar negara selepas pelaburan sebanyak AS$100 juta dalam Sakthi Automotive Group untuk membeli 25.1 peratus daripada operasi globalnya pada Jun 2017.
AAPICO mempunyai operasi pengeluaran di India, Eropah, Amerika Syarikat, Mexico, China dan kini Vietnam.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif VINGROUP Nguyen Viet Quang turut dipetik sebagai berkata usaha sama dengan AAPICO merupakan projek pertama dalam pengeluaran komponen automotif dan aksesori di Vietnam.
"Dengan kerjasama ini, kami percaya akan terdapat lebih banyak syarikat domestik dan asing menyertai industri pembekal automotif di Vietnam. Ini merupakan langkah penting dalam mewujudkan ekosistem yang sejajar bagi industri pembuatan kereta Vietnam," katanya.
Menurut kenyataan itu, VINFAST akan melabur AS$20 juta untuk membina kilang pengeluaran dan mewujudkan suasana yang terbaik untuk operasi kilang manakala AAPICO akan bertanggungjawab ke atas keseluruhan pengurusan projek termasuk teknologi dan pengetahuan, susun atur kilang dan peralatan.
VINFAST adalah anak syarikat VINGROUP, antara konglomerat perniagaan yang terbesar dan paling dinamik di Vietnam dengan permodalan pasaran melebihi AS$14 bilion.
Tahun lalu, VINGROUP mencatat perolehan sebanyak AS$3.9 bilion.
- BERNAMA
sumber:
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/06/437962/syarikat-milik-rakyat-malaysia-bekal-komponen-kereta-di-vietnam#cxrecs_s