Veteran UMNO desak BN dibubarkan

Veteran UMNO mendesak pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) supaya membubarkan gabungan itu kerana ia sudah tidak lagi relevan.




Setiausaha agungnya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata kepimpinan BN perlu membuat keputusan untuk membubarkan parti itu kerana semangat Perikatan yang dipelopori oleh UMNO, MCA dan MIC sejak awal merdeka sudah tidak ada pada parti itu.

Katanya, adalah lebih baik BN dibubarkan dengan rasmi daripada membiarkan anggotanya menarik diri daripada parti itu.

"UMNO yang menjadi peneraju utama BN sewajarnya bertindak memanggil mesyuarat Jawatan kuasa Tertinggi BN untuk membincang keputusan pembubaran BN," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas tindakan terbaharu empat parti komponen BN di Sarawak yang meninggalkan parti itu, Selasa lalu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar dari BN dan keempat-empat parti itu mewujudkan gabungan baharu, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dengan pengunduran itu, BN kini hanya mempunyai empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN, manakala MyPPP masih belum diketahui statusnya berikutan masalah dalaman parti itu.

Mustapha berkata, Veteran UMNO berpendapat UMNO sendiri sekian lama memikul 'biawak hidup' parti komponen BN.

Katanya, parti komponen yang ada kebanyakannya menumpang kekuatan UMNO.

"BN kuat kerana UMNO kuat. Mereka berasakan UMNO lemah kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN gagal memerintah.

Mereka lupa UMNO mempunyai 54 kerusi di Parlimen.

"Siapa sebenarnya lemah? Sebenarnya mereka yang lemah. MCA, GERAKAN dan MIC sudah tidak mampu bangkit. Mereka hanya menumpang menang di kawasan majoriti Melayu. Jadi kalau ada suara-suara sumbang dari MCA dan GERAKAN untuk memecat UMNO dari BN, bermakna mereka lupa sejarah dan tidak sedar diri siapa mereka selama ini yang menumpang tuah UMNO," katanya.

Beliau berkata, Veteran UMNO yakin UMNO mampu berjuang sendirian demi agama, bangsa dan tanah air.

"Apa yang perlu ialah UMNO mesti kembali kepada matlamat asalnya sesuai dengan slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat," katanya.

Dengan penarikan diri beberapa parti komponen BN di Sarawak, katanya ruang itu membolehkan UMNO untuk memasuki Sarawak.

"Sebenarnya UMNO telah lama wujud di Sarawak. Oleh kerana halangan daripada PBB maka UMNO Sarawak terpaksa berdiam diri.

"Sekarang ialah masanya UMNO Sarawak membuka sayapnya dan Veteran yakin rakyat Sarawak akan memberi sokongan kepada UMNO," katanya.


sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/437812/veteran-umno-desak-bn-dibubarkan#cxrecs_s