Datuk Seri Najib Razak bertekad untuk berada di Malaysia dan berjuang menentang tuduhan terhadapnya walaupun menghadapi kemungkinan dipenjarakan.
"Tidak, saya tidak pernah merancang untuk melarikan diri. Kerana jika saya pergi (meninggalkan Malayia), ada anggapan saya bersalah.
"Saya tidak boleh menjadi buruan untuk sepanjang hayat saya. Saya mahu membersihkan nama saya," katanya kepada Reuters.
Dalam temubual berkenaan Najib buat pertama kali mengulas berkenaan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib berkata, beliau merasakan bahawa hubungan Low di Asia Barat terutamanya dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
Namun beliau tidak pernah mengarahkan Low untuk terbabit dalam urusan 1MDB dan tidak mempunyai kawalan ke atas apa yang dilakukannya.
"Saya tidak memberikan arahan kepadanya tetapi dia secara sukarela melakukan perkara tertentu yang menurutnya akan membantu 1MDB. Tetapi apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab pengurusan dan lembaga pengarah," katanya.
Najib turut menyifatkan hubungan anak tirinya, Riza Aziz dengan Jho Low adalah sebagai rakan tetapi tidak menyedari sebarang urusan yang membabitkan dana 1MDB dalam syarikat penerbitan filem milik Riza.
Ditanya sama ada beliau masih berhubung dengan Jho Low, Najib berkata:
"Kami sudah tidak berhubung lagi. Saya juga tidak tahu dia di mana. Peguamnya juga tidak memberi sebarang respon terhadap permintaan maklum balas," katanya.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam 1MDB.
Katanya wang AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun bank peribadinya adalah derma dari Arab Saudi dan bukan seperti dakwaan dalam saman di Amerika Syarikat.
Najib berkata beliau diberi jaminan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud yang negara itu akan menghantar derma.
"Apa yang saya tahu, saya terima ia datang dari Arab Saudi, atas arahan Raja Abdullah," katanya.
Beliau berkata tidak tahu menahu sebarang urusniaga membabitkan akaun peribadinya kerana melantik Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, satu unit dalam 1MDB, untuk menguruskannya.
SPRM mengeluarkan waran tangkap terhadap Nik Faizal tetapi tidak diketahui beliau berada di mana. - Reuters
sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/439779/saya-mahu-membersihkan-nama-saya#cxrecs_s