Kaka Azraff: Tiada lelaki yang nak serius'

 Penyanyi Kaka Azraff yang meletakkan sasaran menamatkan status solo sebelum usia 30 tahun, mengaku tertekan apabila teman-teman rapat sudah mendirikan rumah tangga.


Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 29, mengaku menjalin hubungan dengan seorang jejaka dalam tempoh setahun, namun kini lebih memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

"Tipulah jika saya langsung tak terkesan apabila melihat rakan-rakan sudah berkahwin.

"Namun, saya percaya jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan... Sejauh mana kita mencuba, jika belum masanya, maka ia tidak akan terjadi," katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut hubungannya dengan jejaka terbabit, Kaka berkata, mereka sekadar berkawan.

"Memang kami berkenalan sepanjang tempoh setahun tetapi sekadar kawan.

"Buat masa ini, saya tak nampak sesiapa yang ingin membawa hubungan ke peringkat lebih serius," katanya.

Sehubungan itu, tambah Kaka, dia lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang lakonan dan nyanyian.

"Ini lebih mudah... Jadi fokus saya terhadap kerjaya tidak lari," katanya ditemui pada majlis pelancaran single keenam berjudul Sibuk hasil kolaborasi bersama bekas anggota Sleeq, Alif di sini, hari ini.

Mengulas mengenai single itu, Kaka berkata:

"Sibuk adalah lagu milik Alif yang sudah disimpan sejak enam bulan lalu. Entah mengapa, saya tertarik dengan melodi lagu itu yang dekat di hati saya.

"Alif akhirnya mengalah dan memberi kesempatan kepada saya untuk menyanyikan lagu itu. Buat masa ini, saya selesa bekerjasama dengan Alif sebagai komposer dan penerbit lagu saya," katanya.

Kaka dan Alif mula bergandingan menerusi lagu Bukan Hal Aku yang membawa mereka mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-30.