Saya rindu anak-anak - Aizad Rosli

'Tolong jangan pisahkan saya dengan anak-anak.'


Begitu permintaan Mohamad Aizad Rosli iaitu bekas suami pelakon, Balkisyh Semundur Khan yang mendakwa hampir setahun tidak dapat bersama dengan dua anak mereka.

Aizad mempersoal mengapa dirinya tidak dibenarkan berjumpa dua anaknya, Nur Qalesya, 9, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 4, sedangkan Mahkamah Syariah sudah memberi kebenaran kepadanya berbuat demikian.

"Saya tak faham kenapa Balkisyh tidak benarkan saya tengok anak-anak sedangkan mahkamah sudah benarkan.

"Saya rindukan momen bermain dengan mereka, pergi menonton filem dan makan aiskrim bersama.

"Jika tak mahu saya bawa pulang ke rumah, dapat berjumpa sekejap dan peluk mereka pun saya bersyukur," katanya kepada BH Online.

Sejak beberapa hari lalu, rakaman video dimuat naik Aizad yang antara lain memaparkan adegan dirinya bertengkar dengan Balkisyh di lokasi awam, menjadi viral.

Melalui rakaman itu, Aizad yang dilihat memegang dokumen dipercayai surat perintah mahkamah, meminta Balkisyh membenarkan dia mengambil dua anak mereka.

Permintaan Aizad bagaimanapun ditolak Balkisyh hingga selepas beberapa minit bertengkar, pelakon Mak Cun itu dilihat menendang Aizad.

Ditanya mengenai tujuan dirinya memuat naik rakaman video itu, Aizad mengaku tidak sepatutnya bertindak mengikut perasaan kerana secara tidak langsung, ia memalukan dirinya, Balkisyh dan keluarga.

Namun, tambah Aizad, disebabkan terlalu rindukan anak-anak, langkah berkongsi video itu diharap cara terbaik untuk memberinya peluang berjumpa Qalesya dan Qaisyh.

"Memang benar, salah saya memuatnaik video itu di Facebook (FB) hingga tular.

"Tetapi, saya seorang manusia, ketika itu saya terlampau marah dan rindu pada anak-anak. Saya yang meminta rakan merakam video ketika kami berbalah pada pertemuan, Jumaat lalu," katanya.

Aizad berkata, dia pergi ke sekolah anak dengan harapan dapat membawanya pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu yang merindui mereka.

"Saya datang dengan surat mahkamah dan menyangka boleh bawa anak-anak pulang ke kampung berjumpa ibu yang merindui mereka... Dapatlah kami makan durian bersama-sama.

"Namun, lain pula jadinya apabila Balkisyh bertindak kasar dengan saya. Kalau bencikan saya, tolonglah jangan libatkan anak-anak.

"Buat masa ini, saya menanti agar Balkisyh terbuka hati menemukan saya dengan anak-anak," katanya.

Aizad mendakwa, sebelum ini, dia hanya mampu melihat anak-anak dari jauh.

"Bayangkan, sampaikan saya perlu 'curi-curi' tengok anak-anak saya ketika Balkisyh tidak bersama mereka. Ada masanya juga, saya hanya mampu tengok mereka dari jauh," katanya,

Aizad dan Balqisyh bercerai pada September tahun lalu.


sumber
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/07/450795/saya-rindu-anak-anak-aizad-rosli